CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Pengenalan

Matlamat wawasan negara dapat dicapai melalui masyarakat yang berilmu pengetahuan dan beketrampilan mengaplikasikan pengetahuan Matematik. Antara usaha ke arah wawasan ini, perlu memastikan masyarakat membudayakan Matematik dalam kehidupan harian. Justeru itu, kemahiran penyelesaian masalah dan berkomunikasi dalam matematik perlu dipupuk supaya dapat membuat keputusan dengan berkesan.

Matematik adalah asas dan jentera penggerak kepada pembangunan dan perkembangan dalam bidang sains dan teknologi. Dengan itu, penguasaan ilmu Matematik perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi menyediakan tenaga kerja yang sesuai dengan perkembangan dan keperluan membentuk sebuah negara maju. Selaras dengan hasrat untuk mewujudkan sebuah negara yang berorientasikan ekonomi berasaskan pengetahuan, kemahiran penyelidikan dan pembangunan dalam bidang Matematik Tambahan perlu dibina dari peringkat sekolah.

Matematik pada peringkat rendah akan diteruskan pada peringkat menengah dan akan menjadi faktor untuk penguasaan subjek-subjek sains yang lain termasuklah Matematik Tambahan, Fizik dan lain-lain. Lantas, Penerusan agenda pemantapan subjek Matematik secara strategik harus dilaksanakan untuk tahun ini dan diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang.